Wednesday, January 28, 2009

Di Pagi Ini

Sang mentari merangkak tenang membuka tirai kelam,
Memperlihatkan mainan warna
Buat sementara...
Kemudian larut menjadi cahaya keemasan.
Langit mula menebarkan gulungan birunya
Awanan putih terlekat sama,
Mengundang burung-burung ke singgahsana luas
untuk terus bebas.

Lalu bayu menyapa manja dedaunan hijau,
membisikkan sejuta rahsia.
Hanya di antara mereka...
Dan aku,
Aku terpaku dengan keindahan pagi ini.

-Nisatu

Monday, January 19, 2009

Dikau Temanku

Hadirmu
mengukir lembaran baru dalam diariku
dikau lukiskan penuh warna
tanda ikhlas, tanda setia
kau sentiasa menemani
sedia disisi sepanjang jalan ini

Laluan ini kita susuri
penuh tekad
Sedikitpun tak terasa tenat
Kerna...
Semangatmu
lambang bukti kekuatan
yang mengisi setiap kelemahanku

Sarat rasa jiwa
nak ku tinggalkan
tempat ini...tempat permainan kami
dimana segala duka sama ditangisi
segala ceria jadi pengganti

Kini...
kau dan aku berdiri
dihujung jalan
di simpang berbagai arah.....
Laluan kita nanti
pastinya berbeza
Namun....siapa tahu
persimpangan ini
bakal menemukan kita pada satu destinasi yang sama

Sampai di sini kita berpisah
Izinku kenang hadirmu
Pinjamkan aku semangatmu
Pada hakikatnya....
Aku takkan pernah lupa
untuk mengingati dirimu


-JJ-

Sunday, January 11, 2009

Mimpi Yang Aneh

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Awan mendung berarak memberi laluan kepada matahari yang berselindung di sebaliknya. Hari itu, semuanya berjalan dengan lancar. Aku duduk di atas batu yang besar sambil menghirup udara yang nyaman. Mataku yang tadinya kuyu, sekarang menjadi segar dengan gurauan ombak yg memercikkan airnya ke badanku.

Tanpa ku sedari, aku terlena di atas batu itu. Bila aku bangun, aku terpinga-pinga. Entah bagaimana boleh tersadai di atas pasir yang kasar. Aku cuba bangun namun mendapati aku sudah tidak berkaki lagi. Apa yang membuat aku lebih hairan ialah diriku kini mejadi cantik. Berkelopak merah, bertangkai hijau dan berbau sungguh harum! Aku telah berubah menjadi sekuntum mawar merah! *insert lagu Alleycats - Sekuntum Mawar Merah*

Aku cuba mengensot ke arah laut. Tiba-tiba, ombak yang kuat menarik seluruh tubuhku ke dalam laut. Aku menjerit meminta tolong sekuat-kuat hatiku namun tiada pertolongan menjelma. Diriku semakin lemah setiap saat aku dipukul gelombang dan akhirnya, aku pengsan. Bila aku sedar, aku sedang berbaring di atas katil seorang bayi dan diselimuti dengan umpai-umpai laut. "Eh, aku ni kat mana?" hatiku berbisik.

Tanpa kusedari, seekor ikan duyung yang cantik manis menghampiriku. "Hai. Nama saya Marina, bukan Marina Yusof tau! Marina Bay. Saya berkacukan ikan emas dengan mat saleh.". Aku lalu menujukan peluru-peluru soalan yang bermain di mindaku sejak sedar tadi. "Di mana saya? Bagaimana saya boleh berada di sini? Ni negeri mana? Ni bawah laut ke?". Marina mungkin tidak kuasa menjawab soalanku kerana dia hanya mengangkatku dengan lembut dan membawaku keluar dari bilik itu. Kami memasuki sebuah bilik yang cukup luas yang penuh dengan perhiasan emas. Seekor duyung lelaki sedang duduk di atas kerusi yang megah bersalut warna emas di hujung bilik. "Anakku, mari ajak kawanmu bersantap bersama." sapa Ayah Marina kepada anaknya.

Kami dijamu lauk-pauk yang aneh-aneh belaka! 'Pantat itik', 'tulang ikan bakar' dan pencuci mulut 'Agar-agar Barnacles' disajikan. Selepas itu, Marina dan Dayangnya menghiasi diriku dengan alat solek sehingga larut malam. Kami berbual tentang kehidupan masing-masing. Oh! Rupanya aku berada di Istana Selar Kuning yang dijajah oleh bapanya, Raja Bom Bay.

Hari-hariku di Istana Selar Kuning amat ceria. Setiap pagi aku mengikut Marina Bay ke Salon rambutnya. Bermacam-macam fesyen rambut yang aku pelajari, seperti rambut Medusa dan yang paling popular, Siput Serawak. Di sebelah malam pula aku dan Marina serta seluruh anak-anak duyung pergi ke kelas mengaji. Woii! Gurunya garang! Jika salah satu huruf, disebat dengan rotan electric eelnya!

Setelah aku mendapat kembali tenaga, aku pun meminta izin dengan ayah Marina untuk pulang ke dasar laut. Malam sebelum aku berangkat, aku dihiburkan dengan persembahan oleh Marina dan haiwan-haiwan laut yang lain. Kerang-kerang dan kupang-kupang memulakan acara dengan nyanyian 'Under The Sea' sebagai kumpulan koir (choir lah) diketuai oleh Marina. Ini diikuti pula dengan tarian dari ikan todak, ikan pari, ikan buntal dan ikan bilis. Lucu melihat ikan-ikan yang lain selalu tertolak ikan bilis di antara langkah tarian mereka. Kemudian, diadakan pertandingan di antara semua ikan-ikan todak. Mereka harus berenang laju ke arah dasar laut dan menghunuskan muncung mereka yang tajam ke dalamnya. Jika mereka berjaya melepaskan hujung mulut mereka, mereka akan dinobatkan sebagai pemenang! Aku amat meminati acara tersebut! Persembahan diakhiri dengan gahnya oleh udang-udang yang terbang ke arah timur dan ketam-ketam yang melompat ke arah barat secara selang-seli. Ianya seolah-olah seperti persembahan bunga api! Cantik dan menarik sekali!

Hatiku berat untuk meninggalkan Istana itu, lebih-lebih lagi setelah acara malam sebelumnya yang begitu menarik. Namun begitu, aku perlu kembali ke tempat asalku. Raja Bom Bay menghantarku ke darat semula dengan kenderaan kuda-kudanya (Seahorse). "Selamat tinggal, mawar. Semoga bertemu lagi." Di sana, seorang lelaki mengangkatku dan memberiku kepada seorang wanita. Dia mencium pipiku. Tiba-tiba, kelopak bungaku jatuh berderai. "Aduh!! Tolong! Aku takut! Jangan bunuh aku!!", aku menggigil ketakutan sebelum rebah.

"Bangun, bangun! Sorry I terlambat 3 jam. Betul-betul sorry k," seorang lelaki kacak menggoyangkan badanku. Aku menggenyeh-genyeh mataku separuh sedar. La, So'od rupanya, kekasihku. Kami sepatutnya berjumpa di ECP Water Breaker tengah hari itu, tetapi kata So'od, dia ada hal perlu dilakukan dahulu. Lalu aku telah menunggu hingga tertidur, dibuai mimpi yang aneh sebegitu. Dia menghulurkan sejambak bunga mawar merah kepadaku, tanda maafnya. Tertawa aku seketika kerana ironinya mainan tidurku tadi. Namun aku menyanyikan kepada So'od lagu Apologise - One Republic, versi Melayu. "Terlalu lambat untuk minta maaf, lambaaaaatt..." dan bangkit untuk pulang.


*cerita rekaan penulis zaman sekolah menengahnya. Penulis telah terjumpa buku karangan lamanya dan tak menyangka otak gila-gilanya sudah bermula sejak dahulu lagi. Namun, ada perubahan dibuat ke atas cerita.
Credits to 'kamus undangan' (:

dan Akhbar bagi bahagian persembahan (: