Thursday, December 15, 2011

Merah kelopak di balang kaca

Saat engkau berhenti mencurahkan keperluannya
Layulah bunga
Pudarlah warna
Gelap dunianya

Aku melihat dia minitiskan airmata
Sambil berbisik kepada-Nya
Pilu hatiku mendengar
Sayu membayangkan keperitan

Kelopak demi kelopak berguguran
Tiada seorang pun yang mampu menghentikannya
Hanya mampu aku mengutip
Kelopak kenangan
Kekeringan
Tidak bermaya

Aku simpan kelopak yang dikutip
Yang manis
Yang pahit
Di dalam balang kaca
Sangatlah rapuh


Si Bedah, Tipah dan Senah
Mereka hanya bijak membawa mulut
‘Bodoh’, kata mereka
‘Apa salah cawangan dikembangkan jika modalnya ada?’

Bertambah lah kelopak berguguran
Akibat ditikam sekali lagi
Sungguh dalam
Membisa

Yang dahulu menjadi pujaan
Permaisuri
Di cemburui
Kini dikhianati
Membiar hati dicekam duri

Semakin kelopak jatuh lalu pudar
Aku hanya mampu berdoa
Setelah selesainya keguguran kelopak
Dia akan menjadi lebih kuat
Berdikari
Dan menghargai kelopak kenangan di dalam balang kaca
Yang dahulunya merah menyala

- Nurul Badriah

Friday, August 19, 2011

Pantun Jual-Beli Hari Raya

Jual:
Hajat di hati nak masak rendang ikan
tup tup tikus jadi sajian
mengapakah ia menjadi kemestian
utk ke geylang di bulan ramadhan?

Beli:
Masak tikus berlauk kari
Lauk kegemaran anak Pak Manan
Apakah tuan tak tahu lagi
Geylang itu kan banyak makanan!

Jual:
Anak tikus sudah dihidang
Lagi sedap dimasak rendang
Memang berlambak makanan di geylang
tapi semua tak mengenyangkan

Beli:
Di bazaar Geylang belanja sakan
singgah pasar beli ikan bawal
Apa lagi nak dibahaskan
Jom kita sambutlah bulan Syawal!

Beli:
Nak ikan bawal tapi tak jumpa
Takde ikan, tikos pun berguna
Masa berlalu begitu cepatnya
Belum ready nak sambut raya

Jual:
Berbuka lemak pucuk ubi
kuah dah basi tekak pun loya
Dah sebut pasal raya ni
Mana ah kuih kegemaran saya?!

Beli:
Kuah lemak dah lontar sayang
Jiran pulak kasi tikos rendang
Kuih awak, saya dah buang
pasal pakai butter tak halal

19 Ogos 2011

Wednesday, August 17, 2011

Kamar Yang Ku Selongkar

Rak rak yang terpasang
pada dinding bilik ini
masih tegap lagi
tak goyah dek timbunan ilmu
yang ku simpan sejak dulu

Ku belek simpanan baju
yang tersusun penuh
di segenap pelusuk
almari kuning
jelas menyapa aku dengan seribu warna

Lantas ku bersihkan rak-rak itu dari debu
dan setiap buku begitu teratur
Baju-baju itu ku perbetulkan
agar rapi dalam lipatan

Sesekali ketika berkemas
Pasti terjumpa sesuatu
yang bakal mengimbau kenangan yang lepas
Biar yang lucu mahupun sebaliknya
Ternyata..
tiap-tiap satu punya cerita
membuatkan diri begitu berat untuk ketepikannya

Bingkaian gambar berderet selari
Wajah-wajah keriangan ini
Adakah akan ku ketemu lagi?
Jam di dinding petanda mentari
sudah separuh hilangnya
Lalu ku bersandar pada tirai jendelaku
Terasa senang sekali melihat malam berlabuh

19 Ogos 2011
(Sajak Gabungan)

Wednesday, July 27, 2011

Lihat pada huruf pertama dari setiap baris dan cantumkan. Itulah tajuknya

Ini puisi saya
Nukilan ilham dan bahasa
Intinya digubah mengikut cipta dan rasa

Perihal dunia jadi pengamatan
Untuk ditafsir menjadi satu penceritaan
Impian dan pengalaman
Seringkali menjadi bahan
Isi sebuah cerita rekaan

Saya menulis
Adakala berkisar tentang diri
Yang secara peribadi lebih suka bersembunyi
Atas kertas ini, saya lebih mudah dimengerti...


28-07-2011

Airmatamu

Tangisan itu pembuka tirai
Erti salam perkenalan
Cerita alam bakal kau rungkai
Hitam dan putih dakwat catatan


Lembaran demi lembaran akan tertulis
Berbariskan senyum dan tangis...


Jika awan tangiskan manik-manik hujan
Gerimis airmata biaskan perasaan
Bila ruang diri dihimpit sempit
meraunglah hati yang menjerit


Dalam jeritan ada yang mendengar
Bagaimana perit pasti ada ikhtiar....


Tatkala jeritan itu makin lemah
Kau jadi marah
kerna tak upaya merubah
keadaaan memaksamu berpeluk tubuh
Hanya perhati dari jauh
Dipinggir renungan berlinang jatuh


Musim gugur ada gantinya
Pada tiap rintihan ada Nur-nya...


Pelajaran hidup punya ujian
Mengapa terjadi bukan persoalan
Pegang erat qalam Al-Insyiraah
Dengan nama Allah kau berserah
Nescaya kan tenang hati yang lebur
Akhir sujudmu berlinang syukur


Berpasangan bagai malam dan pagi
Begitulah jua hidup dan mati...


Datangnya kau dengan tangisan
Perginya jua diiringi tangisan
Mereka yang tersayang harus kau tinggalkan
walau ucap selamat mu tak berkesempatan


Bersama tujuh tapak, tangisan mereka pergi....
Tujuh tapak berlalu, kau kan selalu dirindui....


26-07-2011

Tuesday, July 26, 2011

Masa-Masa Yang Terlepas

Masa-masa yang terlepas
Eloklah diganti dengan hari-hari yang lebih teliti
Yang rebeh diperbaiki
Yang baik diteladani
Biar Ramadhan ini
jadi penebus kejahilan diri


Masa-masa yang terlepas
Eloklah diganti dengan hari-hari yang sepi
Kembara dengan fikiran
Mencari erti sebenar Ramadhan
Mendidik jiwa
Agar setenang para Sahabah


Masa-masa yang terlepas
Eloklah diganti dengan hari-hari penuh bakti
Menghulur pada yang perlu
Berkongsi kasih dengan yang pilu
Kerana tangan di atas lebih budiman
tidaklah Ramadhan itu selain bulan Ihsan


Masa-masa yang terlepas
Eloklah kau ganti dengan nafas baru
Beribadah dengan jitu
Mengumpul hikmah di balik Ramadhan
agar bertemu jua malam seribu bulan.


270711

Sunday, July 24, 2011

Apa dihadapanku
buatkan ku tersenyum
Gamat satu persatu
Deraian tawa masih sekuat dulu

Duduk semeja
Bagai lama tak jumpa
Saling ribut bercerita
Selorohnya pula bersahaja

Putih, sawo matang walau tak sama
Jadinya satu meja penuh warna

Jujur ku akui
Aku tak perlu terus mencari
Mereka dihadapan ini
Memang sudah melengkapi

Namun..
Bila terbawa haluan baru
Mungkin tak di izin waktu
Untuk ketawa seperti dulu
Hanya sekadar mengenang dari jauh

Habis detik ini
Aku belum sedia lagi
Bangun tinggalkan meja ini...

Wednesday, January 12, 2011

Nak Sangat!

Nak sangat!
Dah menjalur dalam darah
Dah sebati dengan khayalan sampai jadi begini.
Tapi mungkin belum cukup direndam dalam diri,
Mungkin ada kekurangan yang perlu aku perbaiki.
Ataukah untuk mengajar aku sekali lagi tentang Bersabar?

Ya, apa susahnya berdiam
Kita akur menunggu giliran
Seolah sang pungguk yang mendambakan bulan
Hanya tahu meniti setiap detik
dalam harapan.

Pun begitu Tuhan telah berfirman
Yang dibenci sebenarnya kunci kekuatan
untuk kau mara ke hadapan
Sedangkan bukan kemestian setiap mahumu
adalah yang terbaik.
Ketahuilah, sesungguhnya Tuhan lebih Tahu.

070111