Tuesday, January 8, 2013

Cerminan Diri


Terkadang aku rasa jiwaku ini mudah rapuh, walhal telah ku pupuk, telah puas aku didik untuk tegak berdiri berdikari. Rapuhnya jiwa ini kerana mungkin ku rasa kehebatan diri ini lebih menyerlah seperti sang rembulan di kala malam berselimutkan hitam. Dia menjeling ke arah bintang-bintang di sekelilingnya yang cahaya mereka tak seterangnya.
Tapi aku lupa, bila diri ini merasa lebih hebat, itu tandanya jiwanya sakit. Telah dimamah penyakit iri.

Jujur, bukan niatku ingin menjadi si bulan itu, namun ini fitrah diriku. Aku juga manusia seperti semua yang cacat-celaku mahu aku tutupi dengan kelebihan yang ada. Yang ada, kerana keaibanku telah ditutupi olehNya.

Namun di sebalik kecelaan itu, aku yakin jiwa ini ‘makan ajar’. Tidak lagi mengelamun memikirkan nasib diri, tapi kini bertafakur memperbaiki diri. Jiwa ini ku biarkan bebas mencintai segala hal yang aku suka, namun ku beri syarat - dalam segala hal pun, ingati Dia. Ingati Dia dan terus mengingati Dia yang berkuasa mengambil jiwa ini bila-bila masa sahaja. Kau boleh enak membahaskan kecintaan duniamu yang tak putus-putus, tapi jangan putus-putus berdoa kepadaNya. Boleh saja kau lalai dengan kecantikan buat sekian waktu, tapi pada selebihnya, jangan leka yang keindahan itu datangnya dari Yang Maha Indah.

Jiwa, kau perlu ingat bahawa sujudmu hanya untuk Penciptamu. Pujimu hanya untuk yang layak. Cintamu… cintamu itu boleh kita bincangkan sekarang. Cinta itu adalah sumber daripada cinta Tuhan, dan percayalah, kau perlukan ia untuk memuaskan dahagamu. Kemudian kongsilah dengan sesiapa sahaja kerana ia tidak akan berkurangan, kerana Dia Maha Mencukupi. Ambillah dan teruslah ambil tanpa akan susutnya sumber cinta itu. Maha Suci Tuhan, Dia cukup Murah dalam memberi walau kau jarang membalasnya kembali.

Nisa

Mencari Ilham


Di manakah perginya ilham?
Puas ku mencari isi
di setiap sudut ruang benak ini
Mendesak kalimat-kalimat hadir
sebagai wakil emosi buat diri yang kehampaan lagi.

Ku genggam segenap kudrat yang tinggal
biar terus semangat berlaga
khayalan berlawan yang nyata.
Hanya cuma mata pena ini enggan menari
bagai diikat gerak dan geri,
tertewas lagi tinta ini,
tiada denyutan nadi.

Entah bila tinta akan hidup kembali
Ingin ku bangunkan roh noktah
agar merembes keluar rasa
Memecah dinding pemisah
agar bersua juga jodohnya,
ilham dan sang pujangga.


171212
Nisa