Thursday, July 19, 2012

Kau Suatu Mimpi

Dikau hadir sorong mimpi
Latar patah lagu 
pecah sunyi
Buat sekian kali

Atas takhta
Hatimu ku tatang tinggi
Haram jejak bumi
Tempias tak mengena
Cemar jauh sekali

Cuma bahagia itu
pinjaman waktu
Singgah sejenak
Lantas kau berlalu 
bersama damai jiwa 
Tinggal
Rekah harapan 
Namamu walau ku seru
Hanya tersia 
Menggadai suara

Tuhan
Kau lebih tahu
Keluh hamba Mu
Andaikata...
dia tak berpatah lagi
Dan terus berganjak pergi,
Kau padamkanlah
Lakaran memori
Yang pernah ku puisikan 
Atas nama, wajah, hati dan bicara
Ibarat dia tak lagi 
aku kenali
Seolah ia tak pernah terjadi

Cebisan mimpi kala terbayang
Bangun masih igau..
Racau dalam sedar..

Thursday, July 5, 2012

Teruja

Teruja
Kala malam menjelma
Tenang didampingi gelita
Kamar terkunci
Diam bersendiri
Seronok pasang telinga
Sekali sekala
Hati dan benak
Petah bercerita
Berkongsi rasa
Tentang hari hari mereka

Aku seperti serik
mengadu pada dunia
Soal hati dan segala isinya
Dilihat dari lensa peribadi
Ada yang mahu mendengar
Tapi banyak soalan ditanya
Ramai pula yang suka mengadili sebelum mengerti

Jadi biarkan saja
Naluri bebas bicara
Biar aku terus teruja
Dengan penceritaannya
Usah gusar hati
Keluhanmu
Takkan keluar 
Dari kotak kamar ini
Malam ini
Biar cuma aku jadi saksi

Teruja



Terujanya aku sampai lena tidurku terganggu,
Fikiran tak menentu,
kerana terus panjang memikir
seperti ada yang belum aku tafsir,
ada yang perlu aku lampir.

Telah ku bisik bait-bait zikir
penenang jiwa
Namun masih resah bergelora
Enggan hayati maksud zikrullah
diri merakam segala tanda tanya.

Tenanglah wahai diri,
akan pasti kasih berhenti
duduk di dalam hati
takkan berganjak sekali lagi.


040312

Terima Kasih


Kami cukup berterima kasih
Kerana ribut yang telah kalian datangkan
cukup meranapkan segala
Kecintaan kami kepada yang namanya dunia dan kalian telah berjaya memutuskan kami
Dari belenggu ikatan simpul mati
Di antara kita.


Rasanya perlu untuk kami berjabatan tangan
Bagi merakamkan penghargaan
Atas badai semalam yang mentarbiahkan kami untuk menjadi seorang hamba kembali.
Semakin kosong jiwa ini,
Semakin penuh kami rasakan keberadaanNya.


Syukur padaMu, wahai Yang Maha Mengasihani.
Biarpun perlu menelan kaca, menjilat luka,
JemariMu tak pernah jemu menarik kami kembali ke sisi.
Dan tentunya,
segala Terima Kasih hanyalah layak untukMu.

Klasik


Berkhayal di awan
puing-puing mimpi
serta angan-angan
nyaman malam membuai
bawah tabir langit permai

Ku putarkan iringan klasik
Tiada kata, tiada lirik
Hanya beralun indah
mainan melodi
Jelas bukan ia dipaksa-paksa
Sekadar nada-nada bernota
Susunan rapi
hasil naluri
Ilham berseni

Berbantalkan telapak
sambil kedua lengan berkepak
Bila mata tertutup
diculik sejenak
dari kesibukan seharian
Dibukakan mata hati
dahagakan sunyi
lagi refleksi diri

Bagai tempat mengadu
meski tidak hidup
Namun melodi itu
seolah menjadi teman
pendamping setia
penglipur lara...