Saturday, July 31, 2010

Bagaimana Bukit Batok mendapat namanya

Kononnya pada zaman dahulu, ada seorang pemuda miskin bernama Bukit. Sayangnya, Bukit sangat malas orangnya dan hanya menghabiskan masa di beranda rumahnya dengan tidur. Apabila perlu untuk makan, dia akan mengutip buah limau dari pohon rendang di luar rumahnya. Ibu bapanya sangat risau dengan perangai anak tunggal mereka.

Pada suatu hari, Bukit dipaksa Ibunya untuk ke hutan mencari kayu. Sedang dia meredah hutan, dia ternampak sebatang pokok. Buah-buah epal yang tergantung pada pokok itu sungguh kilat dan lain daripada biasa. Bukit terpegun. "Dah lama aku tidak memakan buah epal kan. Lebih baik aku petik epal yang ranum-ranum ini!", bisik hati kecilnya.

Bukit melihat kiri dan kanan untuk memastikan tiada orang di daerah tersebut dan terus memanjat pokok epal itu. Dia cuba mencapai seberapa banyak epal di dalam genggamannya dan turun ke tanah. Sebaik sahaja dia turun, seorang perempuan tua yang hodoh menarik bajunya. "HAhahahah! Kau ambil buah-buah epal aku ya? Ambil lah! Ambil sepuas yang kau mahu! Hahahaha!" Dengan itu, nenek itu terus lesap tanpa bekas. Bukit terketar-ketar dalam kebingungan, apa nenek tadi... Dia tak berani memikirkan tentang itu.

Dia pun meneruskan perjalanannya ke dalam hutan untuk mencari kayu yang dipesan ibunya. Sebiji epal yang telah dipetik sebelumnya dijamah ke mulut. Luar biasa enaknya. Kulit epal itu halus dan gebu, kilatnya memancarkan seakan cahaya ajaib, warna merahnya delima. Belum sempat Bukit memakan epal itu sekali lagi, dia terbatuk-batuk. Batuk yang amat dahsyat sehingga menyesakkan dada. Batuk itu seperti mencekik anak tekaknya, membakar kerongkongnya.

Bukit tidak tentu arah. Jalannya simpang siur cuba menyusur kembali jalan untuk pulang ke rumahnya. "Mak! Bukit batuk mak! Bukit batuk!", jerit Bukit. Malangnya, Bukit tiada daya meneruskan perjalanannya dan terkulai lemah di sebatang jalan. Nafasnya semakin sesak dan akhirnya, Bukit mati.

Dan kawan-kawan, itulah cerita bagaimana Bukit Batok mendapat namanya!


dijumpa dalam buku karangan Nisa zaman Sec 3 dan diubah.
Cerita tiada kena-mengena dengan yang nyata.

Tuesday, July 27, 2010

Sepetang Di Persisiran

Duduk di atas batu ini
Melentok kepala di telapak kiri
Sambil dagu bertongkat siku
Pemandangan luas untaian biru

Sekali sekala ombak kecil
datang singgah di jemari kaki
Kilas airnya dingin bagai memanggil
memujuk berendam diri

Kalau ikutkan hati
Ingin saja aku terjun bermandi
Nikmati nyaman yang menyelubungi
Biarkan peluhku dibasuh pergi
Pedulikan terik matahari

Tatkala aku berdiri
bersama kemeja-T disisi
Ku renung pada permukaan air
Lantas ada suara membisik

"Jangan kau buta melihat air yang tenang,
sekali arus berubah, sekelip laut bergelombang
Saat itu kau kan kecundang,
Hilang jejak pada pasir yang curam
Makin dipukul kuat, makin hanyut kedalam"

Seimbas ia datang..
Berlalu ia pergi..
Sejenak terfikir seorang diri

Tinggalkan saja aku disini
Ditemani batu ini
Lautan yang tak terjamah aku kan rugi
Namun ku tak mahu menyesal nanti
Hanya semata kehendak hati

Kembali ku merenung jauh....
Setia menunggu mentari jatuh....